Pandangan bandaraya Copenhagen

Air Pancut Gefion

Wajah bandaraya Copenhagen masa kini terbentuk oleh peranan utamanya sebagai pusat serantau selama berabad-abad. Copenhagen mempunyai banyak daerah, setiap satunya melambangkan zamannya dengan ciri-ciri tersendiri, sehingga membentuk susunan bandar yang padat. Ciri-ciri penting lain dalam Copenhagen masa kini ialah banyaknya perairan, bilangan taman yang banyak dan sistem laluan basikal terancang yang terdapat di hampir setiap jalan raya utama.

Seni bina

"Gereja Marmar"

Daerah tertua dalam bandaraya Copenhagen ialah "Middelalderbyen" (Kota Zaman Pertengahan). Namun begitu, daerah yang paling menonjol di Copenhagen ialah Frederiksstaden yang dimajukan ketika zaman pemerintahan Frederick V. Di Frederikstaden terletaknya Istana Amalienborg di pusatnya di samping kubah Gereja Marmar dan juga beberapa rumah agam yang anggun dari abad ke-18. Juga dalam kota lama Copenhagen ialah pulau kecil Slotsholmen dengan Istana Christiansborg dan Christianshavn. Di sekitar pusat bandaraya bersejarah terletaknya sejaluran kawasan perumahan saling bersebelahan di Vesterbro, Nørrebro Tengah, Østerbro Tengah dari seawal abad ke-19 yang dibina di luar tembok lama bandaraya apabila pembinaan dibenarkan di luar tembok kawasan bandar.

Adakalanya bergelar "Kota Mercu", Copenhagen terkenal kerana latar langit yang mendatar dan cuma dihiasi oleh mercu gereja dan istana lama. Antara yang paling menonjol ialah mercu barok di Gereja Penyelamat Kami yang juga bercirikan tangga luaran yang berlingkar dan sempit untuk kegunaan pengunjung untuk ke puncak mercunya. Antara mercu-mercu tertinggi yang lain termasuk di Istana Christiansborg, Dewan Bandaraya Copenhagen dan bekas Gereja St. Nikolaj yang kini menempatkan pameran seni moden. Mercu-mercu penting yang lebih rendah pula termasuk mercu zaman renaissance di Istana Rosenborg dan "mercu naga" di bekas bursa saham Christian IV, yang dijolokkan sedemikian kerana berupa empat batang ekor naga yang terpintal bersama.

Baru-baru ini, kelihatan perkembangan pesat dalam bidang seni bina moden di Copenhagen[30], tak kira seni bina tempatan mahupun antarabangsa. Selama berabad-abad dahulu, tiada jurubina asing terkemuka yang pernah bekerja di Copenhagen sehinggalah awal alaf ke-2, apabila kawasan sekitarnya didirikan bangunan dan projek dari jurubina antarabangsa yang terkemuka. Pada masa yang sama, sebilangan jurubina Denmark telah mencapai kejayaan cemerlang di dalam dan luar Copenhagen. Sebilangan binaan di Copenhagen telah meraih anugerah Institut Diraja Jurubina British iaitu Anugerah Eropah RIBA empat tahun berturut-turut ("Sampension" (2005),[31] "Kilen" (2006),[32] "Tietgenkollegiet" (2007)[33] dan Panggung Diraja Denmark (2008)[34]). Di Pesta Seni Bina Sedunia 2008 di Barcelona, kumpulan Bjarke Ingels memenangi anugerah Bangunan Perumahan Terbaik di Dunia 2008 untuk sebuah kawasan perumahan di Ørestad.[35] Anugerah Forum AID untuk Bangunan Terbaik di Scandinavia jatuh kepada bangunan di Copenhagen pada tahun 2006[36] dan 2008.[37] Pada tahun 2008, majalah rekabina British Monocle mencalonkan Copenhagen sebagai "bandar raya rekabina terbaik di dunia 2008".[38]

Taman

Kebun Botani Universiti Copenhagen

Copenhagen ialah sebuah bandaraya hijau yang banyak taman besar dan kecil. Kebun Raja di Istana Rosenborg ialah taman yang tertua dan paling ramai pelawatnya di Copenhagen.[39] Kerja lanskapnya dimulakan oleh Christian IV pada tahun 1606. Setiap tahun, taman ini menyambut lebih 2.5 juta pengunjung[40], terutamanya pada musim panas apabila ramai pelawat mengunjungi taman ini untuk berjemur, berkelah dan bermain bola. Taman ini juga merupakan taman arca yang mempamerkan beraneka arca secara berkekalan atau secara bermusim.[39] Juga dalam kawasan bandaraya terletaknya Taman Botani yang terkenal kerana terdirinya sebuah kompleks besar rumah kaca abad ke-19 yang didermakan oleh pengasas syarikat Carlsberg, J. C. Jacobsen.[41] Fælledparken dengan keluasan 58 hektar ialah taman terbesar di Copenhagen.[42] Taman botani ini terkenal untuk acara sukan dan tuan rumah beraneka acara tahunan seperti konsert opera percuma di permulaan musim opera, konsert muzik terbuka, karnival, sambutan Hari Buruh dan lumba kereta antik Copenhagen Historic Grand Prix. Di bahagian timur laut bandar raya ada sebuah ruang hijau bersejarah iaitu Kastellet, sebuah kubu kota zaman Renaissance yang terpelihara rapi dan menjadi sebuah taman. Sebuah lagi taman awam yang popular ialah Taman Frederiksberg, sebuah taman lanskap zaman romantisisme seluas 32 hektar yang menempatkan sekawan burung pucung kelabu yang jinak sekali di samping pelbagai jenis burung air yang lain. Taman ini juga menawarkan pemandangan taman gajah yang direka oleh jurubina British terkemuka, Norman Foster di Zoo Copenhagen yang berhampiran.

Apa yang menarik juga mengenai Copenhagen ialah sebilangan tanah perkuburan yang berperanan sebagai taman istirahat, itupun untuk kegiatan yang senyap seperti berjemur, membaca dan bertakafur.[43] Tanah Perkuburan Assistens, iaitu tempat bersemadinya Hans Christian Andersen, ialah sebuah ruang hijau yang penting dalam daerah Nørrebro Tengah dan juga sebuah institusi penting di Copenhagen. Vestre Kirkegaard yang berkeluasan 54 hektar ialah tanah perkuburan terbesar di Denmark[44] yang bercirikan dusun tebal, halaman terbuka, jalan berliku-liku, pagar pokok renek, pusara bersemak, tugu, kaki lima yang dihiasi pokok, tasik dan bermacam-macam lagi ciri-ciri kekebunan.

Dasar perbandaran rasmi Copenhagen menetapkan bahawa menjelang tahun 2015, setiap taman atau pantai boleh dicapai oleh semua warga kota dengan berjalan kaki dalam masa kurang 15 minit.[45] Selaras dengan dasar ini, beberapa taman baru sedang dibangunkan di kawasan yang tiada ruang hijau.[46][47]

Pantai

Copenhagen dan kawasan sekitarnya ada tiga pantai sepanjang 8 km yang boleh dicapai dengan berbasikal selama 30 minit dari pusat bandaraya. Ini termasuk Amager Strandpark yang dibuka pada tahun 2005 dan merangkumi pulau buatan sepanjang 2 km dan pantai sepanjang 4.6 km,[48] terletak 15 minit berbasikal atau beberapa minit sahaja menaiki tren dari pusat bandaraya.

Pantai-pantai ini ditambah oleh sistem Permandian Pelabuhan sepanjang kawasan dermaga Copenhagen. Kawasan permandian yang tertua dan paling digemari ramai ialah Islands Brygge[49] yang meraih pengiktirafan antarabangsa kerana reka bentuknya.[50]

Rujukan

WikiPedia: Copenhagen http://www.architecture-page.com/go/people/profile... http://www.architecture.com/Awards/RIBAEuropeanAwa... http://www.architecture.com/Awards/RIBAEuropeanAwa... http://britishbattles.com/waterloo/battle-copenhag... http://www.copcap.com/ http://www.designboom.com/weblog/read.php?CATEGORY... http://www.dezeen.com/2008/10/05/suk-project-by-bi... http://www.euromonitor.com/Top_150_City_Destinatio... http://www.forbes.com/2008/07/21/cities-europe-lif... http://www.forumaid.com/default.asp?sid=1207